
PARIS - Dua wakil England dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah,  Chelsea dan Arsenal berdepan saingan sukar daripada kelab Itali pada  undian kalah mati yang berlangsung semalam.
Juara bertahan, Barcelona pula dilihat agak mudah apabila diundi bertemu kelab Jerman, Bayern Leverkusen.
Chelsea diundi menentang Napoli dengan aksi pertama akan berlangsung  di Stamford Bridge, manakala Arsenal pula akan bertemu juara bertahan  Serie A, AC Milan di Itali bagi perlawanan pertama.
The Blues sedar mereka tidak boleh memandang mudah Napoli selepas  wakil Itali itu mara ke pusingan kalah mati ini dengan menyingkirkan  Manchester City.
Bagi Arsenal pula, pertemuan dengan Milan diibaratkan sebagai ulangan aksi peringkat yang sama pada musim 2007/08.
Pada aksi tersebut, 
The Gunners menang dengan agregat 2-0  menerusi jaringan Cesc Fabregas dan Emmanuel Adebayor dalam aksi kedua  di San Siro selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi  pertama.
Barca pula akan berkunjung ke Jerman dahulu untuk berdepan naib juara  2002, Leverkusen yang layak dalam Kumpulan E di belakang Chelsea.
Undian lain turut menyaksikan Real Madrid yang menang kesemua enam  perlawanan di peringkat Kumpulan D, menentang CSKA Moscow, manakala  Bayern Munich yang berharap untuk mara ke final di tempat sendiri di  Allianz Arena, bertemu kelab yang mengalahkan Manchester United, FC  Basel.
Marseille pula akan menentang juara 2010, Inter Milan, Benfica  berdepan Zenit St Petersburg dan Lyon akan bertemu kelab kerdil dari  Cyprus, APOEL Nicosia. - AFP