Pu Yi: Daripada raja menjadi rakyat biasa
DATUK RUHAIDINI ABD. KADIR menulis dari Beijing Language and Culture University, China.
sumber: Utusan Malaysia
|  | 
| 
 
 
 Pu Yi  ketika usia kanak-kanak.  
 | 
DALAM kehidupan ini, tidak ada benda (meskipun sebesar zarah) yang  akan kekal selamanya kerana hukum alam 'menjanjikan' - jika sudah tiba  pada masanya, sesuatu itu pasti akan berubah.
Selagi bernama manusia, kita hanya mampu berusaha untuk mengekalkan  sesuatu keadaan itu selama mungkin namun dengan kudrat manusia yang  terbatas, kita tidak akan mampu 'menahan' ia berubah menjadi sejarah.
Sejarah China sendiri membuktikan, tidak ada dinasti yang bertahan  untuk selamanya dan dalam lipatan sejarah China yang panjang, dinasti  silih berganti dalam tempoh lebih 2,000 tahun di China sebelum ia  berakhir seabad lalu.
Ahad, 1 Januari lalu - pada saat berbilion-bilion penduduk dunia  riang menyambut kedatangan tahun baru 2012, China sebenarnya 'menyambut'  ulang tahun ke-100 'penggulingan' Dinasti Qing (pada tahun 1912) -  mengakhiri sistem pemerintahan maharaja China.
Pada waktu itu, China yang disebut sebagai Republik China (atau dalam bahasa Cina disebut 
Zhonghua Minguo)  menggantikan Dinasti Qing dengan menggulingkan Maharaja Pu Yi dan  'kejayaan' menumbangkan sistem maharaja pada tahun 1912 jelas  membuktikan bahawa politik China ketika itu telah berubah mengikut  kehendak generasi semasa. 
Maharaja Pu Yi atau nama penuhnya Aisin-Gioro Pu Yi yang merupakan  maharaja ke-12 Dinasti Qing dan merupakan maharaja terakhir China  'mengukir' banyak sejarah kepada negara itu. 
Pu Yi dilahirkan di rumah agam Putera Chun di Peking (nama lama bagi  Beijing) pada 7 Februari 1906 dan Pu Yi merupakan cucu sulung kepada Yi  Huan yang merupakan anak ketujuh Maharaja Tao Kuang (1821-1850) yang  membawa gelaran Putera Chun Pertama (I).
Meskipun bapa Pu Yi, Zaifeng merupakan anak kelima Putera Chun I,  namun Zaifeng diangkat sebagai Putera Chun Kedua (II) kerana kematian  adik-beradik lelaki yang lain pada usia kecil manakala abang keduanya  (bapa saudara Pu Yi) telah dibawa ke istana dan ditabal menjadi Maharaja  Kuang Hsu pada 1875.
Takdir Pu Yi berubah pada 13 November 1908 apabila Maharani Balu  (Empress Dowanger) Tzu Hsi dan Maharaja Kuang Hsu yang sedang gering  pada waktu itu memutuskan Pu Yi sebagai pewaris takhta.
Dua hari selepas Pu Yi melangkah masuk ke Istana Kota Larangan,  Maharani Balu (Empress Dowanger) Tzu Hsi dan Maharaja Kuang Hsun mangkat  dan selepas berkakhirnya tempoh berkabung, Pu Yi ditabal menjadi  maharaja dan menaiki takha.
Hari pertabalan Pu Yi sebagai maharaja pada 21 Diember 1908 juga  menyimpan sejarah yang 'sangat luar biasa'. Meski sejarah ini sudah  lebih seabad berlalu, tetapi bagi rakyat China ia dijadikan sebagai  'guru' - sejarah yang amat pahit untuk diterima tetapi sangat banyak  pengajaran di dalamnya.
Pada istiadat pertabalannya sebagai maharaja di atas singahsana yang  telah digunakan sejak Dinasti Ming lagi, Pu Yi yang pada usianya yang  belum pun mencecah tiga tahun tiba-tiba menangis dan berteriak; ''Saya  mahu pulang ke rumah, saya tidak mahu tinggal di sini."
Menurut akal kita yang waras, apalah diketahui oleh seorang  kanak-kanak yang berusia 2 tahun, 10 bulan, 14 hari tentang kedudukan  seorang maharaja yang berada di puncak hierarki sosial masyarakat,  berkuasa mutlak dalam pemerintahan, pemilik tanah dan harta.
Dalam usia sementah itu, manalah Pu Yi mampu untuk mengerti bahawa  peranan maharaja harus dilihat mempunyai kombinasi beberapa aspek antara  falsafah Kong Fu Tze dan kepercayaan masyarakat dengan  perlakuan-perlakuan politik semasa.
Kedudukan politik seseorang maharaja berdasarkan konsep mandat syurga  yang meletakkan mereka sebagai 'wakil syurga' atau 'anak syurga' jauh  sekali dapat difahami oleh anak kecil ini.
Namun bagi pembesar-pembesar dan hulubalang-hulubalang Istana Kota  Larangan, tangisan dan teriakan Pu Yi "'Saya mahu pulang ke rumah, saya  tidak mahu tinggal di sini" dianggap telah mencemar dan mencalar  istiadat pertabalan seorang maharaja Cina yang selama lebih 2,000 tahun  berlangsung dalam suasana yang penuh kebesaran dan kemuliaan.
Lebih tragis bagi mereka ialah apabila ayah Pu Yi, Zaifeng yang  berada di sisi Pu Yi di atas singgahsana cuba memujuk anaknya dengan  menyebut; ''Jangan menangis, jangan menangis…Ia akan berakhir tidak lama  lagi…Ia akan berakhir tidak lama lagi!''
Kalimat ''Ia akan berakhir tidak lama lagi!" itu telah menyentak  jantung pembesar-pembesar dan hulubalang-hulubalang Istana Kota Larangan  dan mereka yang terkejut mendengarnya menganggap kalimat itu sebagai  suatu 'bala' yang akan memusnahkan Dinasti Qing dan sistem pemerintahan  maharaja. 
Benarlah, lebih tiga tahun kemudian (1912), kegemilangan Dinasti Qing  yang memegang takhta pemerintahan China selama 276 tahun hancur dan Pu  Yi sebagai maharaja Cina terakhir telah digulingkan dalam revolusi yang  dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen.
Pu Yi melakar sejarah yang sangat hitam selepas digulingkan dari  takhta. Selepas revolusi, beliau masih diizinkan untuk tinggal di dalam  Istana Kota Larangan tetapi pada usia 19 tahun, Pu Yi diarah  mengosongkan istana.
Bermula detik itu, Pu Yi memulakan 'pengembaraan' yang panjang -  memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan diangkat menjadi 'raja  boneka' dalam negara Manchu (Man Zhou Guo - kawasan yang dijajah Jepun)  yang merupakan wilayah China dan bersempadan dengan Rusia, Korea Utara  dan Mongolia.
Setelah kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, Kesatuan Soviet  menguasai Wilayah Manchu dan Pu Yi berjaya ditangkap di lapangan terbang  ketika cuba melarikan diri ke Jepun. Pu Yi ditahan di Rusia dan  menjalani hukuman penjara selama lima tahun sebelum dihantar kembali ke  China pada tahun 1950. 
Beliau yang mengakui kesalahannya dan menyatakan penerimaannya  terhadap pembaharuan, pendidikan dan revolusi telah menjalani pemulihan  di Penjara Fushun War Criminal selama lebih kurang lapan tahun.
Pada tahun 1958, Pu Yi telah mendapat pengampunan dan dibebaskan oleh  kerajaan China yang diperintah oleh Parti Komunis. Lapan tahun di  Penjara Fushun War Criminal, Pu Yi telah 'dididik untuk menjadi seorang  manusia biasa'.
Pu Yi meninggal dunia pada usia 61 sebagai rakyat biasa dengan  sejarah yang penuh warna-warni. Pada masa yang sama, sejarah yang  dilakar Pu Yi membuatkan manusia yang hidup pada hari ini cuba mentafsir  apa yang sebenarnya telah menyumbang kepada keruntuhan sistem Maharaja  China selepas lebih 2,000 tahun berkuasa.