sumber: Berita Harian
Kuala Lumpur: Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima 
dividen 7.75 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan 
berakhir 31 Disember 2012.
Ia meningkat 0.1 sen seunit berbanding tahun lalu iaitu 7.65 sen seunit dan tertinggi dalam tempoh lima tahun.
      
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 
berkata peruntukan pengagihan pendapatan membabitkan pembayaran 
berjumlah RM8.13 bilion, iaitu peningkatan 17.5 peratus berbanding 
RM6.92 bilion pada tahun sebelumnya.
      
RM712.21 juta bayar bonus
Beliau berkata, ahli Lembaga Pengarah PNB juga bersetuju 
memperuntukkan RM712.21 juta sebagai pembayaran bonus, iaitu bersamaan 
1.15 sen seunit, kadar sama diperuntukkan pada tahun kewangan 
sebelumnya.
Pembayaran itu akan memanfaatkan 7.82 juta pemegang unit yang melanggan 110.2 bilion unit ASB. 
“Secara keseluruhan, prestasi ASB sepanjang tahun kewangan 
berakhir 31 Disember 2012 masih memuaskan walaupun kelembapan ekonomi 
negara maju serta krisis kewangan di Eropah mempengaruhi pasaran saham 
dan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di sini semalam.
      
Ahmad Sarji berkata, selaras falsafah dan objektif pelaburan 
tabung ASB sebagai tabung unit amanah berharga tetap, pengekalan modal 
dan kemampuan mengagihkan pendapatan secara berterusan menjadi 
keutamaan.
Beliau berkata, sehingga 19 Disember 2012, ASB memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM8.54 bilion.
Daripada jumlah itu, pendapatan dividen diterima daripada 
pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM4.80 bilion atau 56.21 
peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar. 
Sementara itu, pendapatan daripada keuntungan jualan saham 
menyumbang RM2.68 bilion atau 31.38 peratus, manakala selebihnya, iaitu 
RM1.06 bilion atau 12.41 peratus daripada sumber pendapatan lain.
Kemaskini buku pelaburan
Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing 
di Ibu Pejabat, pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari
 depan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri
 Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB berkemampuan mengagih dividen 
dan bonus sebanyak 10.8 sen seunit dalam tahun kewangan dikaji, tetapi 
selepas dibuat pertimbangan, ia ditetapkan pada 8.9 sen seunit (7.75 sen
 bagi dividen dan bonus 1.15 sen).