salam
sekadar mengambil artikel dari Utusan Malaysia
Hadapi tekanan kecewa
Pernahkah anda berdepan dengan rakan atau saudara anda yang kecewa? Kecewa dalam peperiksaan, pekerjaan, percintaan, perkahwinan dan berbagai kekecewaan lain.Bagaimana agaknya reaksi mereka? Sedih adalah perkara biasa. Menangis juga adalah perkara biasa tetapi tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana mampu mengundang masalah lain pula.
Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, kekecewaan melampau ini terjadi dalam perhubungan cinta atau perkahwinan.
Tindakan tersebut adalah kesan tekanan melampau yang dirasai oleh seseorang yang kecewa terhadap sesuatu.
''Perbuatan ini perlu dihentikan segera kerana jika dibiarkan, akan membawa padah bukan sahaja kepada insan yang kecewa sebaliknya kepada insan sekelilingnya juga.
''Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah 'takluk' dan 'tandingi' mereka. Sudah pasti kita perlu bersikap lebih agresif. Jika insan kecewa tersebut menangis meraung-raung, pegang atau peluk dirinya agar dia rasa lebih tenang.
''Persoalkan pada dia apakah tindakan dirinya dengan meraung, kecewanya akan hilang? Jika dia putus cinta, persoalkan apakah dengan meraung, cintanya akan kembali bersatu? Kenapa perlu meraung sakitkan fikiran dan emosi sendiri kerana insan yang tidak menyayangi dirinya?
"Sebaliknya tanamkan dalam fikirannya, hidup tidak akan berakhir walau tanpa insan yang mengecewakan dirinya itu," katanya.
Tegas Suzana lagi, minta individu tersebug kenang kembali ibu bapa atau siapa sahaja insan tersayang lain yang ada di dalam hidupnya.
''Jelaskan padanya perasaan insan-insan tersayang itu jika melihat dia yang bersikap sedemikian? Sudah tentu mereka juga akan sedih dan kecewa.
"Apakah dia sanggup kecewakan orang yang betul-betul ikhlas menyayangi semata-mata kerana seorang insan penipu?"
Kata Suzana lagi, pada situasi tersebut kita mungkin perlu tinggikan sedikit suara.
Yang penting takluki dan tandingi emosinya kerana individu yang menangis dan meraung ini terlalu mengikut perasaan hingga tidak mampu memikirkan perkara lain kecuali kekecewaannya.
''Tugas dan peranan anda untuk membawa emosi dan perasaannya ke dunia nyata semula.
" Sama juga jika insan kecewa tersebut menjerit atau marah-marah. Tindakan tersebut adalah satu luahan kekecewaan. Ketika itu, perlu lawan emosi marah tersebut.
" Bukan marahkan sikapnya sebaliknya mengingatkan agar tidak marahkan orang lain yang tidak bersalah dan tidak ada kaitan dengan kekecewaannya.
''Paling penting, minta dia istighfar ingatkan Allah. Minta rakan anda itu ucapkan Allah, Allah, Allah berulang kali. Insya-Allah, dalam beberapa ketika sahaja, dia akan mula kembali tenteram," ujarnya.
Elakkan daripada membincangkan perkara yang mengecewakan tersebut jika dia belum bersedia.
Hingga tiba saat itu, setiap kali dia cuba luahkan kekecewaannya, minta dia bertenang dan jangan dikenang lagi kisah-kisah lama yang boleh melukakan lagi hatinya.
''Dalam situasi sebegini, elakkan daripada menyebut perkataan sabar sebab ada ketikanya perkataan sabar ini akan lebih menambahkan kekecewaannya.
"Sebenarnya sabar adalah perkara yang perlu dipraktikkan dalam setiap agenda kehidupan namun sabar bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan," terangnya.
Sebaliknya gunakan perkataan tabah, kuat, boleh dan pelbagai lagi kata-kata semangat dan motivasi.
Ceritakan kisah orang lain yang lebih menyayat hati tetapi orang tersebut mampu meneruskan kehidupan seperti biasa agar insan kecewa tadi sedar dan tahu, bukan dia sahaja yang diuji oleh Allah malah ada orang lain yang lebih teruk ujiannya dan mampu meneruskan hidup dengan ceria.
'' Minta dia lebih dekatkan diri kepada Allah dan mohon kekuatan daripada-Nya. Insya-Allah, kekecewaan akan beransur hilang walau kisah duka masih belum luput di fikiran," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan