BENTONG 18 Ogos - Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang akan 
diwujudkan tidak lama lagi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan 
menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.
Naib Canselor universiti itu, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
 berkata, kursi itu akan menjadi sebuah pusat penyelidikan ilmiah bagi 
memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kedudukan institusi itu.
"Kini terdapat rakyat yang menggunakan akal fikiran secara logik menganggap golongan raja tidak lagi relevan.
"Justeru, kajian serta penyelidikan yang khusus mengenai raja-raja 
Melayu perlu dijalankan secara intelektual dan ilmiah bagi 
mempertahankan institusi itu, sekali gus memantapkannya," katanya semasa
 merasmikan bengkel pemikir penubuhan kursi itu di Genting Highlands 
dekat sini hari ini.
Bengkel tiga hari itu turut dihadiri oleh Penyimpan Mohor Besar 
Raja-Raja Malaysia, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad; Ahli Dewan 
Negara, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini; para ilmuwan serta pemimpin 
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Pelajar Melayu 
Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).
Bengkel dikendalikan bersama oleh UiTM dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Menurut Sahol Hamid, bagi melaksanakan tujuan penubuhan kursi itu, 
UiTM telah mengatur pelbagai program kenegaraan dan patriotisme.
Antaranya, kata beliau adalah mewujudkan mata pelajaran wajib 
mengenai institusi raja-raja untuk semua pelajar UiTM, latihan kepada 
pensyarah dan kakitangan serta menjadikan UiTM sebagai tempat rujukan 
latihan kepada guru-guru.
Menurut beliau, peranan institusi kesultanan di negara ini sudah 
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan selagi kerajaan Malaysia tidak
 beralih sebagai republik, institusi raja-raja akan terus wujud di 
negara ini.
"Kami di UiTM merasakan institusi itu perlu dipertahankan dan 
diperkasakan. Kursi ini sangat penting bukan sahaja untuk bangsa Melayu 
dan Malaysia bahkan untuk agama Islam," katanya.
Antara objektif utama penubuhan kursi itu adalah memberi kesedaran 
dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat, bertindak sebagai pusat 
rujukan Kesultanan Melayu; menjelaskan mengenai wasiat raja-raja Melayu 
yang menjadi nadi kepada roh semangat Melayu dalam jiwa masyarakat serta
 menjelaskan peranan raja-raja Melayu yang dipertanggungjawabkan untuk 
menjaga kepentingan dan kedudukan orang Melayu tanpa mengabaikan 
kedudukan dan kepentingan kaum-kaum lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan