IPOH 18 Ogos - Kerajaan sedang melakukan semakan penambahbaikan 171 
skim perkhidmatan kakitangan awam dan keputusan mengenai perkara itu 
akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2015, Oktober ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam 
(CUEPACS), Azih Muda berkata, ia melibatkan kelayakan masuk ke sektor 
awam bermula daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat
 ijazah.
Katanya, setakat ini, kerajaan selesai melakukan kajian semula terhadap 81 skim.
"Harapan kita agar skim ini bukan sahaja diumumkan pada pembentangan 
Bajet 2015, malah tidak akan berlaku seperti sistem Saraan Baru 
Perkhidmatan Awam (SBPA) yang lalu, walaupun diluluskan kerajaan namun 
dibatalkan selepas banyak pihak tidak setuju.
"Oleh itu, semakan semula kali ini diharap memberi kepuasan kepada 
semua pihak dan semakan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang kini
 berada di peringkat akhir dilihat menunjukkan tanda positif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis
 Taklimat Isu Semasa Pembantu Tadbir Bersama Presiden CUEPACS di 
Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Permaisuri Bainun 
(HRPB), di sini hari ini.
Terdahulu, Azih mengadakan lawatan ke Wad 24, Klinik Methadon dan 
Klinik Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri, HRPB serta Klinik Kesihatan
 Greentown dekat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan