SUDAH hampir tiga minggu sejak Ramadan melabuhkan tirai dan Syawal menjelma, umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Di Malaysia, sambutan terus meriah dengan majlis rumah terbuka yang diadakan - walaupun tidak berskala besar - tetapi masih cukup mewah dengan segala juadah.
Di Lembah Klang bahkan kota-kota di seluruh negara sejak dua minggu lalu difahamkan mengalami kesesakan trafik luar biasa gara-gara rakyat Malaysia berkereta bahkan berkonvoi untuk memenuhi jemputan rumah terbuka sama ada yang dianjurkan oleh syarikat atau organisasi tempat kerja, rakan sekerja, teman sekolah yang baru berjumpa di Facebook mahupun saudara-mara dan jiran tetangga.
Penulis percaya ianya fakta dan bukan auta kerana ada rakan penulis dari Pantai Timur sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan rumah terbuka sahabat di Kuala Lumpur. Begitu juga ada rakan lain sanggup naik bas dan berkereta hampir dua jam untuk berjejak kasih dengan teman seasrama yang sudah 20 tahun tidak bersua muka.
Semuanya teruja setelah dipertemukan semula di Facebook disusuli grup WhatsApp lantas mahu terus bernostalgia dengan memori zaman sekolah.
Budaya ziarah atau kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturahim ini memang dituntut agama dan menjadi amalan masyarakat Malaysia sejak sekian lama. Cuma dengan adanya media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp, budaya ini nampaknya semakin berkembang.
Sebagai bonus, visual kemeriahan berhari raya bersama rakan dan taulan itu dapat dikongsi bersama teman lain yang tidak berkesempatan menghadiri rumah terbuka itu, apabila dengan segera dapat dimuat naik di laman sosial dan pelbagai aplikasi berinternet.
Penulis tidak ada masalah dengan keghairahan masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam untuk menyambut hari raya. Penulis juga tidak menentang budaya rumah terbuka, berselfie dan bermonopod untuk menggambarkan kemeriahan sambutan Syawal - bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa, sebab penulis pun sama.
Cuma yang tidak sedapnya, apabila majlis rumah terbuka menjadi acara pembaziran dengan juadah berlebihan yang akhirnya bukan masuk ke perut tetapi menyendatkan tong sampah dan plastik-plastik hitam sahaja.
Jika datuk nenek kita dulu melihat pembaziran yang berlaku pada majlis-majlis rumah terbuka hari ini, mungkin sahaja perumpamaan, `Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' tidak timbul sebaliknya digantikan dengan 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke tong sampah'.
Maklumlah kalau sudah menjemput orang datang ke rumah untuk berhari raya, tak kan cukup sekadar menjamu sejenis juadah dan kuih sahaja. Kalau menjamu lemang mesti ada rendangnya, nasi impit mesti dengan kuah kacang atau kuah lodehnya. Air pula mesti ada sejuk dan panas. Begitu juga kuih raya, tak cukup bahulu atau kek lapis, perlu ada batang buruk dan putu kacang atau setidak-tidaknya kuih siput dan kacang botak untuk kudapan. Pembasuh mulut lagi, sekurang-kurangnya tembikai potong perlu ada.
Itu yang praktikal. Malangnya, ramai yang tidak praktikal dan mengikut dorongan hawa nafsu.
Tidak cukup nasi impit, ditambah nasi tomato atau nasi hujan panas pula. Tidak cukup rendang daging ditambah gulai ayam dan kuzi kambing. Tidak cukup lemang, disediakan ketupat nasi dan daun palas. Itu belum dikira juadah sampingan seperti sate dan spageti selain yang hantu laksa.
Seolah-olah semua citarasa tetamu hendak dipenuhi. Macamlah tetamu yang datang akan complaint atau merungut jika hidangan yang disajikan tidak mengikut selera mereka.
Budaya ziarah semasa rumah terbuka sudah bertukar konsep menjadi budaya 'mentekedarah'. Niat baik menjamu tetamu bertukar dosa membazir dan riak.
Bukan mahu mengata sesiapa namun peringatan ini juga penulis tujukan kepada diri sendiri. Maklumlah sebagai manusia, kita cepat terlupa dan tidak terlepas daripada berbuat silap.
Tidak salah meraikan tetamu dan memenuhi undangan rumah terbuka namun biarlah dalam skala sederhana, tidak berlebih-lebihan sehingga membazir.
Kalau tergerak hati hendak melebih-lebih, bayangkan wajah-wajah terutamanya kanak-kanak di Gaza, Palestin yang kini diancam krisis makanan.
Serangan Israel ke atas perkampungan mereka di Genting Gaza selama sebulan sejak Ramadan lalu mengakibatkan 425,000 penduduk kini berdepan masalah kekurangan bekalan asas seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan.
Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis membedil penempatan mereka yang turut memusnahkan saluran paip air bukan setakat membuatkan penduduk Palestin kini ketiadaan air untuk diminum bahkan terdedah kepada penyakit kerana dehidrasi selain berhadapan masalah kebersihan. Di mana mereka hendak mencari air untuk membasuh dan membersihkan diri?
Jangan cakaplah tentang jus atau air sirap yang kebanyakan daripada kita hanya pandang sebelah mata jika disajikan di rumah-rumah terbuka. Semua itu tidak terbayang oleh mereka kerana air kosong pun belum tentu dapat diteguk dan membasahi kerongkong yang kering.
Syukur Alhamdulillah, kita hidup di bumi Malaysia yang bertuah dan merdeka. Sesukar hidup kita dengan harga barang yang melambung, tentu sahaja tidak sesukar hidup mereka di Gaza yang tidak ada barang pun hendak diborong.
Justeru dalam suasana riang menghabiskan saki-baki Syawal dengan mengadakan atau menghadiri rumah terbuka, ingat-ingatlah penderitaan saudara kita di Gaza.
Selamat berhari raya dan Selamat Hari Merdeka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan