Tabung 1 Bilion Alumni UiTM melonjak...
SEBAGAI seorang wartawan kita banyak bergaul dan kenal dengan kapten-kapten industri di negara ini.
Ada yang mudah mesra, ada yang berhati-hati dan ada yang sehingga menjadi sahabat karib.
Bagi orang korporat yang bijak, orang media tidak dibuat musuh. Sebaliknya dianggap sebagai rakan strategik - yang amat diperlukan pada masa-masa tertentu yang kita tidak ketahui bila masanya.
Ketika berlaku krisis korporat, semasa isu korporat sedang panas, semasa berlaku pertikaian buruh dan sebagainya hubungan korporat-media itu cukup penting sekali.
Sesiapa yang belajar mengenai selok-belok perhubungan awam akan tahu peri pentingnya media relations itu. Ia juga membabitkan soal komunikasi strategik bagi menguruskan sesuatu perancangan korporat.
Kelmarin saya hadir dalam satu majlis anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Saya hadir atas kapasiti sebagai Presiden Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), bukan sebagai wartawan.
Hosnya ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Kami saling mengenali antara satu sama lain, secara profesional.
Namun jika sesiapa mengenali Hamad Kama Piah, beliau bukanlah seorang yang mudah ketika berunding.
Beliau dikenali sebagai seorang ahli korporat yang cukup teliti. Buah fikiran beliau mungkin tidak sama dengan kita. Namun hasilnya sering kali menyebelahi beliau.