17 Disember 2011

Layan Bola Sat

PARIS - Dua wakil England dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, Chelsea dan Arsenal berdepan saingan sukar daripada kelab Itali pada undian kalah mati yang berlangsung semalam.

Juara bertahan, Barcelona pula dilihat agak mudah apabila diundi bertemu kelab Jerman, Bayern Leverkusen.
Chelsea diundi menentang Napoli dengan aksi pertama akan berlangsung di Stamford Bridge, manakala Arsenal pula akan bertemu juara bertahan Serie A, AC Milan di Itali bagi perlawanan pertama.

The Blues sedar mereka tidak boleh memandang mudah Napoli selepas wakil Itali itu mara ke pusingan kalah mati ini dengan menyingkirkan Manchester City.

Bagi Arsenal pula, pertemuan dengan Milan diibaratkan sebagai ulangan aksi peringkat yang sama pada musim 2007/08.

Pada aksi tersebut, The Gunners menang dengan agregat 2-0 menerusi jaringan Cesc Fabregas dan Emmanuel Adebayor dalam aksi kedua di San Siro selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi pertama.

Barca pula akan berkunjung ke Jerman dahulu untuk berdepan naib juara 2002, Leverkusen yang layak dalam Kumpulan E di belakang Chelsea.

Undian lain turut menyaksikan Real Madrid yang menang kesemua enam perlawanan di peringkat Kumpulan D, menentang CSKA Moscow, manakala Bayern Munich yang berharap untuk mara ke final di tempat sendiri di Allianz Arena, bertemu kelab yang mengalahkan Manchester United, FC Basel.

Marseille pula akan menentang juara 2010, Inter Milan, Benfica berdepan Zenit St Petersburg dan Lyon akan bertemu kelab kerdil dari Cyprus, APOEL Nicosia. - AFP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...