23 Disember 2012

ASB beri dividen 7.75 sen seunit + 1.15 Bonus

sumber: Berita Harian

Kuala Lumpur: Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.75 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.

Ia meningkat 0.1 sen seunit berbanding tahun lalu iaitu 7.65 sen seunit dan tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata peruntukan pengagihan pendapatan membabitkan pembayaran berjumlah RM8.13 bilion, iaitu peningkatan 17.5 peratus berbanding RM6.92 bilion pada tahun sebelumnya.


RM712.21 juta bayar bonus

Beliau berkata, ahli Lembaga Pengarah PNB juga bersetuju memperuntukkan RM712.21 juta sebagai pembayaran bonus, iaitu bersamaan 1.15 sen seunit, kadar sama diperuntukkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Pembayaran itu akan memanfaatkan 7.82 juta pemegang unit yang melanggan 110.2 bilion unit ASB.

“Secara keseluruhan, prestasi ASB sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 masih memuaskan walaupun kelembapan ekonomi negara maju serta krisis kewangan di Eropah mempengaruhi pasaran saham dan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Ahmad Sarji berkata, selaras falsafah dan objektif pelaburan tabung ASB sebagai tabung unit amanah berharga tetap, pengekalan modal dan kemampuan mengagihkan pendapatan secara berterusan menjadi keutamaan.

Beliau berkata, sehingga 19 Disember 2012, ASB memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM8.54 bilion.

Daripada jumlah itu, pendapatan dividen diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM4.80 bilion atau 56.21 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Sementara itu, pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang RM2.68 bilion atau 31.38 peratus, manakala selebihnya, iaitu RM1.06 bilion atau 12.41 peratus daripada sumber pendapatan lain.

Kemaskini buku pelaburan

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari depan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB berkemampuan mengagih dividen dan bonus sebanyak 10.8 sen seunit dalam tahun kewangan dikaji, tetapi selepas dibuat pertimbangan, ia ditetapkan pada 8.9 sen seunit (7.75 sen bagi dividen dan bonus 1.15 sen).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...