29 September 2011

Jom Bersedekah!

sumber: Iluvislam Ad-Dien Fiddien | Editor: mawaryangtinggi  

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan, dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Sedekah adalah amalan yang dianjurkan oleh Islam kepada sekalian umatnya.

Tidak kiralah siapa pun kita, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan. Dengan sedekah sekurang-kurangnya akan melatih diri menjadi lebih bersifat memberi dari menerima. Bukankah yang memberi itu lebih baik dari yang menerima?.



Tambahan pula, setidak-tidaknya sedekah kita mampu memberikan kegembiraan serta meringankan beban si penerima.

Islam menekankan betapa pentingnya amalan sedekah menerusi firman Allah S.W.T.:

"Dan infakkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia menyesali, 'Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematianku) sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh'.'' - [Al-Munafiqun: 10]

Masyarakat hari ini memandang sedekah sebagai sesuatu perbuatan remeh yang tidak mendatangkan manfaat. Tidak kurang juga ada yang memperlekehkan amalan mulia ini dengan berpendapat sedekah hanya menguntungkan si penerima dan merugikan pemberi.

Pemikiran negatif sebegini amatlah bersalahan dengan faedah sedekah yang telah dijanjikan Allah S.W.T. Dengan bersedekahlah kita akan merasai keberkatan harta yang kita ada malah dengan sedekahlah, harta kita akan bertambah!

Firman Allah S.W.T:
"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui." - [al-Baqarah: 261]

Kita ambil tauladan dari sirah Nabi Muhammad S.A.W dimana baginda juga tidak berharta dan kaya-raya namun baginda tidak pernah lokek untuk bersedekah.

Pernah diceritakan dalam suatu peristiwa dimana Rasulullah S.A.W memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya kepada seorang lelaki Arab yang meminta baju itu kepada Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya:
"Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemulian baginya. Dan sesiapa yang bersifat tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya." - [Riwayat Muslim]

Namun sering kali terjadi salah faham antara sedekah dan zakat. Dewasa ini, masih terdapat segelintir golongan yang menafikan tuntutan bersedekah kerana telah membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat yang lainnya.

Sedekah tidak sama dengan zakat. Zakat bergantung kepada keupayaan dan keahlian manakala sedekah tidak bergantung kepada yang demikian.

Kekeliruan dalam sedekah juga hadir dengan sangkaan bahawa sedekah hanyalah pemberian harta semata-mata. Tidak, sama sekali tidak. Tafsiran sebegitu adalah tidak tepat sama sekali.

Rasulullah S.A.W bersabda:
"Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan." - [Riwayat al-Bukhari]

Selain daripada kewangan dan harta, sedekah juga boleh dilakukan dengan menghulurkan bantuan dari segi tenaga, idea, atau sesuatu yang memberikan manfaat kepada orang lain. Itu juga adalah sedekah. Ia mungkin tampak remeh namun sedekah inilah yang menyumbang kepada "saham akhirat" kita semua kelak.

Pahala sesebuah amalan itu akan terputus saat matinya anak adam. Namun pahala sedekah ini akan terus mengalir kepada pemberinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

"Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." - [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Semoga kita semua terpanggil untuk selalu bersedekah kepada yang memerlukan.
Jangan menolak sebarang peluang untuk bersedekah kerana boleh jadi Allah menghadirkan mereka sebagai "hadiah" untuk kita... agar dapat kita beramal dengan sedekah.

Wallahua'lam.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...