12 Februari 2012

Beli barang tidak perlu petanda rakyat mewah

sumber : Berita Harian
2012/02/12


HARI ini terlalu banyak berita baik untuk rakyat. Antara yang terbaru ialah bantuan kewangan dan perubatan yang diberikan kepada rakyat, kemudahan membeli rumah, urusan kenaikan gaji dan elaun, dividen daripada tabungan yang meningkat, kedudukan ekonomi negara bertambah baik dan sebagainya. Namun begitu, ada juga berita yang menimbulkan keresahan rakyat tetapi tindakan memperbaiki keadaan dilaksanakan serta-merta, ini menunjukkan masalah rakyat terus mendapat pembelaan. Sebenarnya, bantuan yang diberikan kepada rakyat memberi kebaikan kepada negara.

Lebih banyak wang di pasaran akan menjadikan ekonomi negara sentiasa aktif. Apabila rakyat mempunyai wang, mereka berbelanja. Bila mereka berbelanja, peniaga mendapat hasilnya. Keluaran kilang atau setiap barang yang dijual di kedai akan laris. Kilang dapat meneruskan operasi kerana produk mereka mendapat permintaan. Oleh itu, kilang dapat terus menggajikan pekerja. Jika mereka membeli rumah, faedah yang diperoleh juga bertali arus hinggalah kepada mereka yang berniaga gerai atau nasi lemak hasil pertumbuhan sesuatu kawasan.

Ini adalah proses ekonomi yang berlaku sepanjang masa. Jika pergi ke mana saja di negara ini, membeli-belah adalah kegiatan paling aktif. Sama ada di pasar basah, pasar raya mini atau pasar raya hyper, sentiasa ada pelanggan. Rakyat Malaysia bukan saja membeli-belah dengan mewah di negara ini, malah jika mereka melancong ke negara jiran, mereka ibarat orang kaya. Mereka berbuat demikian kerana yakin wang mereka kukuh dan masih boleh mendapatkan wang dengan mudah.

Mereka membeli-belah kerana berasal dari negara yang mewah. Tidak hairanlah orang Malaysia sering membeli barang yang sebenarnya mereka tidak perlukan, tetapi sekadar untuk memenuhi nafsu membeli. Bilangan rakyat keluar negara tidak pernah berkurangan, malah masih mampu membeli-belah di negara yang nilai wangnya begitu tinggi. Semua ini adalah petanda bahawa keadaan ekonomi negara berada pada landasan yang betul. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...