27 Februari 2012

Okuma bak bandar berhantu





HANYA mempunyai masa tiga jam untuk berada di rumah lamanya, Miyoko Takeda giat mengasing-asing barang kepunyaannya sambil menitiskan air mata.
Dia terpaksa meninggalkan semua kimono yang pernah dipakainya ketika menjadi penari tradisional suatu ketika dahulu kerana bimbang kemungkinan ia telah tercemar dengan radiasi.

Malapetaka gempa bumi berukuran 9.0 magnitud menggegarkan bandar Okuma, Jepun pada bulan Mac tahun lalu. Ia merupakan kawasan reaktor yang menjadi pusat krisis nuklear Fukushima.
Sehingga kini, kawasan tersebut masih lagi sunyi sepi apabila menjadi kawasan larangan bagi penduduknya sehingga tidak ubah seperti sebuah bandar berhantu.

Hanya lawatan pendek yang dibenarkan untuk meninjau rumah yang telah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa hampir setahun lalu.
Ramai yang tidak mengetahui bila mereka boleh pulang ke tanah Okuma.
Takeda yang telah berusia 74 tahun melawat kediamannya bersama-sama suami pada hujung minggu lalu untuk memindahkan kabinet.



Ujarnya, dalam pakaian sut perlindungan berwarna putih, kesan daripada evakuasi pada bulan Mac lalu menyebabkan tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Saya tidak boleh tidur dan makan dengan baik. Saya susut lapan kilogram dan apabila bertemu doktor, saya akan memuntahkan semua yang telah dimakan," kata Takeda sambil berjalan-jalan di rumahnya yang terletak kurang 10 kilometer (km) dari loji itu.

Pada lawatan kali ketiga itu, Takeda mengalir air mata ketika sedang cuba memakai kimononya buat kali terakhir sebelum lawatan tiga jam itu berakhir.

Menaruh harapan


PENDUDUK Okuma yang berpindah kini sudah hampir setahun mendiami rumah sementara di Aizuwakamatsu.



Lebih 1,000 orang dari tiga bandar yang kesemuanya terletak dalam zon larangan telah pulang pada Ahad lalu. Kawasan itu kini menyaksikan lalang memenuhi padang sekolah tadika, manakala baja asli dari ladang lembu berdekatan memenuhi jalan raya.
Beberapa buah keluarga dikatakan meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan tergesa-gesa sehingga selimut tebal mereka masih lagi berselerak atas lantai sampai sekarang.

Seperti Takeda, penduduk lain pula menggunakan tempoh beberapa jam yang berharga itu dengan mengambil barang-barang berharga. Ada juga yang melawat kubur keluarga dan membaiki kerosakan kesan daripada gempa dan gegaran susulan.

Dengan kedudukan batu nisan telah berubah tempat dan daun lalang memenuhi kawasan itu, Minoru Fukuo, 59, dan isterinya membersihkan kawasan tersebut walaupun pelawatnya kini adalah hidupan liar.
"Kami hanya berdoa agar dapat pulang semula untuk membersihkan kubur. Jadi, kami berharap mereka (roh nenek moyang) boleh tunggu sehingga sampai waktu itu," kata Fukuo.

Lawatan itu merupakan kali ketiga menyaksikan para penduduk dibenarkan masuk ke zon larangan nuklear sejak malapetaka tersebut berlaku.
Sejak gempa melanda Jepun, penduduk Okuma bertebaran di seluruh negara. Tanpa sebarang harapan cerah menyebabkan ada sesetengah daripada mereka telah putus harapan.

"Jika ia bencana alam biasa, kamu akan pulih dan maju sedikit demi sedikit setiap hari. Tetapi, kali ini tidak! Yang tinggal adalah satu ketidakpastian," ungkap Tomiko Ikinobu, 47.

Loji Fukushima Daiichi yang terletak di persisiran pantai 240 kilometer arah timur laut Tokyo telah ranap kesan daripada gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac tahun lalu.
Berita melaporkan sebanyak empat kali letupan telah berlaku di loji tersebut menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Jepun terganggu.

Krisis terburuk


PEMANDANGAN dari atas kawasan Loji Fukushima Daiichi sebelum dan selepas dilanda gempa bumi Mac tahun lalu.



Tragedi itu merupakan krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebelum ini, reaktor nombor empat, Loji Jana Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine telah meletup pada 26 April 1986.
Penilaian kerosakan loji jana kuasa Fukushima Daiichi yang dibuat tahun lalu adalah 55 peratus di unit reaktor nombor satu, 35 peratus di reaktor nombor dua dan di reaktor nombor tiga pula sebanyak 30 peratus.
Hampir 11,000 orang penduduk di Okuma dan kira-kira 80,000 orang di wilayah terlibat tidak boleh pulang semula ke rumah masing-masing kerana radiasi tinggi.

Ia meninggalkan luka jiwa yang mendalam kepada penduduk di situ walaupun kebanyakan rumah mereka masih lagi dalam keadaan baik.
Tahun lalu, kerajaan Jepun mengisytihar Loji Jana Kuasa Nuklear Daiichi sebagai kawasan 'penutupan sejuk' tetapi, Kementerian Alam Sekitar berkata, lebih kurang 2,400 kilometer persegi tanah di sekeliling loji perlu dinyah cemar dahulu.

Ikinobu dan empat anaknya kini tinggal di perumahan sementara tanpa pekerjaan sejak malapetaka berlaku.
"Selepas setahun berlalu, semua perkara dan usaha jadi perlahan dan lambat. Mencari pekerjaan baharu juga semakin sukar. Anak-anak pula makin membesar," ujarnya yang merenung nasib.
Sementara itu, Pengurus Loji Tokyo Electric Power Company (Tepco), Takeshi Takahashi berkata, dalam lawatan terbaharu ke tapak bencana nuklear itu baru-baru ini, pihaknya sedang berusaha memastikan reaktor itu selamat.

"Cabaran utama kami sekarang adalah untuk mengeluarkan minyak nuklear daripada reaktor. Ia adalah masalah yang susah dari segi teknikal. Tetapi, kami melakukannya selangkah demi selangkah," katanya.


KESEMPATAN pulang ke Okuma selama tiga jam digunakan oleh penduduk untuk melawat pusara.



Tutup operasi
Dalam lawatan itu kelihatan reaktor nombor tiga hanya tinggal timbunan besi, manakala pada aras atas telah musnah selepas digegar dengan beberapa letupan pada hari loji jana kuasa itu dilanda gempa dan tsunami.
Di Tokyo, operasi loji nuklear bakal berkurangan. Sebelum ini Jepun memiliki 54 buah operasi loji nuklear tetapi, dengan penutupan satu demi satu loji tersebut, Negara Matahari Terbit berkenaan kini hanya mempunyai dua buah loji yang aktif.

Dua buah loji milik Tepco itu ialah Loji Kashiwazaki-Kariwa di tengah Jepun dan Loji Tomari di utara Hokkaido.

sumber: Kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...