13 Jun 2010

Talak tiga dan gila talak

salam

sekadar mengambil artikel menarik daripada Utusan Malaysia hari nie berkaitan tajuk di atas... amat menarik untuk di kongsi bersama untuk di fikirkan


WANITA muda cantik begaya itu berhati-hati menyusun langkah. Begitu menarik penampilannya. Pembawaan diri menunjukkan dia amat bahagia. Teman rapat berbisik: ''Setahun lepas dia manusia berbeza. Gemuk, tiada keyakinan diri. Yang sedihnya dia ditinggal suami gara-gara tidak cantik.''
Saya terkedu. Beberapa saat selepas itu, terlontar satu perkataan: ''Kejamnya.''
Teman yang bertindak sebagai kaunselor tidak bertauliah kepada wanita itu mengupas lanjut. Kebetulan ketika itu kami makan tengah hari bersama. Wanita itu menyapa, bersalaman dan memeluk teman saya. Ada air mata bergenang tetapi bukan kerana sedih sebaliknya membawa tafsiran yang pelbagai.
Wanita itu dalam proses bercerai. Beberapa kali dia diminta menghadiri sesi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam. Bertemu dengan lelaki yang pernah bergelar suami dalam hidupnya pada setiap sesi membawa semangat baru dalam hidupnya. Dia bersenam, aktif di gimnasium, mula bergaul dan meningkatkan keyakinan diri.

membatalkan

Kali terakhir bertemu suami menyimpulkan cerita yang berbeza. Lelaki itu membatalkan hasrat untuk bercerai. Dia tergoda dengan keanggunan isteri yang ditinggalkan kerana pernah menjadi tidak cantik, gemuk dan tiada keyakinan diri.
Sedangkan ketika tali pernikahan dipateri, bentuk fizikal isterinya sememangnya begitu.
Diberitakan hidup lelaki itu kini tidak keruan. Pergerakan isterinya sentiasa diekori. Siang malam dia mengetuk pintu rumah dan pintu hati si isteri. Kemuncaknya dia menelefon isterinya memberitahu mahu mengambil nyawa sendiri lantaran niatnya untuk membatalkan perceraian tidak dipersetujui si isteri.
Dia mahu menghentikan denyutan nadi, namun ugutan demi ugutan tidak mampu mencairkan hati wanita yang amat terluka itu. Dia tidak mahu mengulangi episod luka ditinggalkan lantaran si suami jatuh cinta dengan wanita lain atas nama kecantikan. Dia tidak tahu takdir yang menunggunya di hadapan. Mana tahu kemalangan menimpa mencacatkan bentuk fizikal dirinya, tak mustahil dia akan ditinggalkan sekali lagi lantaran rupa paras dan bentuk badan mendasari mahligai yang dibina, bukannya keikhlasan atau cinta sejati.
Keadaan suami umpama orang gila mengejarnya ke sana sini juga tidak mengundang simpati. Kalau dahulu dia dikatakan tidak mempunyai keyakinan diri tetapi hari ini dia nekad tidak mahu berpaling biar pun dinasihatkan berkali-kali supaya memberi peluang kedua kepada si suami. Pegawai kaunselor di jabatan agama juga buntu. Wanita itu sememangnya tidak mampu dilenturkan lagi menyebabkan lelaki itu gila talak dan tidak henti-henti meratap hiba.
Teman saya bertanya apa tindakan saya jika berhadapan dengan situasi sedemikian. Mendengar jawapan segera saya mungkin mengambil tindakan yang serupa, dia menggeleng-geleng kepala. Katanya, dalam hidup memberi dan membuka peluang kedua adalah sesuatu yang mulia dan hasilnya mungkin lebih indah. Dia juga memberitahu tidak pernah menyangka wanita boleh berubah menjadi sekeras itu. Sebagai doktor perubatan dia jarang bermain dengan psikologi tetapi dalam mengutip pengalaman wanita itu, dia mengakui selain keras hati, ego kaum Hawa tidak kurang tingginya berbanding lelaki.
Dan lelaki yang sememangnya dikurniakan ego semacam tidak mudah menerima hakikat bahawa wanita yang pernah menjadi pasangan hidupnya mahu membina hidup di samping lelaki lain. Lantas jadilah gila talak yang sebenarnya meletakkan ego lelaki pada satu tahap yang amat rendah sehingga melayakkan mereka berbuat apa saja termasuk membakar masjid tempat isterinya bakal memahat ikatan baru. Lelaki yang mungkin ketika melafazkan lafaz talak tiga bertujuan memelihara ego yang tinggi hilang pertimbangan apabila wanita yang bukan lagi miliknya mahu hidup di samping lelaki lain. Sedangkan jika pun masjid itu dibakar, majlis pernikahan boleh saja dilangsungkan di tempat lain. Malah perbuatan tidak waras itu boleh saja menambah kebencian bukan saja bekas isterinya malah banyak orang lain terhadap lelaki itu. Kita pernah membaca laporan berita seorang lelaki membaling jendela rumah seorang gadis gara-gara pinangannya ditolak. Perbuatan itu dilakukan berhari-hari terutama menjelang dinihari. Walaupun bukan gila talak namun hakikatnya sama - segagah manapun lelaki belum tentu kuat apabila hasratnya ditolak. Selembut mana pun hati wanita, akan ada masanya menjadi keras sehingga tidak mampu ditembusi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...